SUKIPT 2026 • Laporan Berita

Butiran Berita

6 SEPTEMBER 2026

UPM JUARA KESELURUHAN SUKIPT 2026, 45 REKOD KEJOHANAN DIPECAHKAN

Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas mengumpul 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa.
Kejayaan UPM melengkapkan temasya edisi ketujuh yang turut menyaksikan sebanyak 45 rekod kejohanan dipecahkan, termasuk dua rekod kebangsaan, sekali gus menyerlahkan peranan SUKIPT sebagai pentas penting dalam pembangunan atlet institusi pendidikan tinggi (IPT).
Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala tuan rumah, Universiti Malaya (UM), berada di tempat ketiga menerusi kutipan 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.
Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, UM, disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim. Temasya berkenaan berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos lalu.
Daripada 45 rekod kejohanan yang dipecahkan, sebanyak 23 dicatatkan dalam olahraga, 13 dalam renang dan tujuh dalam memanah.
Dua lagi rekod dicipta masing-masing dalam acara Kayak TK1 200 Meter Wanita dan Menembak 10 Meter Air Rifle Lelaki. Kedua-dua pencapaian itu turut mengatasi rekod kebangsaan sedia ada.
UPM turut mencatat kecemerlangan dalam olahraga apabila meraih 15 pingat emas daripada 42 emas keseluruhan yang dipertandingkan, selain mengungguli kategori lelaki dan wanita dalam acara Hoki.
UCSI cemerlang dalam acara renang dengan meraih 11 pingat emas, iaitu lapan (8) emas individu dan tiga (3) emas berpasukan, dengan atlet kebangsaan Khiew Hoe Yean turut menggalas cabaran universiti berkenaan.
Atlet HELP University, Darren James Nair Rodney James, dinobatkan sebagai Olahragawan SUKIPT 2026 selepas meraih tiga pingat emas serta memecahkan rekod kejohanan dalam acara 10,000 meter, 5,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan.
Anugerah Olahragawati pula menjadi milik Syahida Asyiqin binti Rusli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara Kayak TK1 200 Meter Wanita. Syahida Asyiqin mencatatkan masa 56.30 saat untuk memperbaharui rekod kebangsaan terdahulu, 57.29 saat.
Pasukan bola sepak UM dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Lelaki selepas menewaskan juara bertahan, UiTM, 1-0 dalam aksi final.
Anugerah Pasukan Terbaik Wanita pula diraih pasukan bola tampar UPM yang mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.
Insentif tunai RM20,000 bagi pencapaian rekod kebangsaan, yang diperkenalkan sejak edisi 2022, turut diberikan kepada Syahida Asyiqin Rusli bagi acara Kayak TK1 200 Meter Wanita serta pasukan Menembak 10 Meter Air Rifle Lelaki UPNM. Pasukan itu dianggotai Muhammad Azman Mohd Ridzuan, Muhammad Iman Syahmi Mohd Azidi dan Mustaqim Hanif yang mencatat rekod baharu 1,848.4 mata, mengatasi rekod terdahulu 1,845.9 mata.
SUKIPT 2026 menghimpunkan 64 kontinjen dan 8,244 atlet yang bersaing dalam 30 jenis sukan. Sebanyak 227 pingat emas, 227 perak dan 271 gangsa dipertandingkan sepanjang temasya tersebut.
Selain UM selaku tuan rumah, pertandingan berlangsung di enam lokasi lain sekitar Lembah Klang, iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UiTM, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT).
Dianjurkan sejak 2012, SUKIPT merupakan antara temasya sukan terbesar membabitkan IPT serta menjadi medan atlet pelajar mengukur kemampuan dan mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
Tema “Mencipta Legasi Juara” yang diketengahkan pada edisi kali ini membawa aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara, memupuk perpaduan dan mengangkat kecemerlangan pendidikan tinggi.
Turut hadir pada majlis penutup ialah Naib Canselor UM, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Sukan), Bahagian Perancangan Strategik, Dr Hanafiah Ayub dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, Prof. Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh.
#SUKIPT2026 #MenciptaLegasiJuara #SukanIPT #SeksyenSukanKPT #UniversitiMalaya
Facebook Rasmi SUKIPT

Galeri Majlis Penutup

(Klik gambar untuk paparan penuh di tab baru)

Laporan: Media SUKIPT 2026